Novel : Bait Cahaya Tanah Air (V)

26 septembre 2010

BAB V : Egokah?



Suasana sedikit tegang. Teratak Ilmu di tepi padang bola itu semacam diselubungi semangat. Angin yang bertiup tidak mampu meredakan perdebatan di kala itu. Sejak kehadiran Jenny, sedikit sebanyak, Aishah, Umar, Rahim dan Farid semakin terasah ilmu-ilmu di dada. Setiap soalan Jenny betul-betul menuntut pemikiran yang teliti. Tidak boleh main jawab. Perlu cari jawapan dari macam-macam sumber.


"Apa yang menyebabkan awak kata begitu, Jenny?" tanya Aishah.


"Gara-gara silibus subjek Sejarah. Saya tak pasti kalau kamu sedar atau tidak akan hakikat ni. Pelajar-pelajar Melayu, Islam maksud saya, selalu kurang berjaya dalam Sejarah. Tak dapat markah bagus. Sedangkan, sebahagian daripada mata pelajaran itu adalah Sejarah Islam. Tentang Rasul kamu. Bagaimana dia -"


"Baginda." Umar membetulkan.


"Maaf. Bagaimana baginda berdakwah secara sembunyi kemudian secara terang-terangan. Dengan sejarah hijrah kemudian perluasan kuasa. Kisah tentang khalifah-khalifah kamu. Macam bonus untuk pelajar-pelajar Melayu. Kementerian pun nak menolong kamu. Kamu yang tak nak menolong diri sendiri." kata Jenny.


"Jadi apa kaitannya dengan pernyataan awak tadi?" tanya Umar kembali.


"Pernyataan saya ialah, orang yang beragama Islam rata-ratanya mempunyai ego yang tinggi! Tetapi berselindung dengan nama Islam yang kononnya damai. Rasul kamu yang mendidik kamu sebegitu!" Jenny menghamburkan segalanya.


Mereka yang lain terpempan. Terkejut dengan pernyataan Jenny. Kedengaran seolah-olah menghina. Menghina Nabi Muhammad s.a.w yang diperaku sebagai utusan Allah dek umat Islam lewat syahadah ketika tiap kali solat.


Mereka menarik nafas panjang. Tidak boleh cepat melatah kerana itu hanya mencerminkan sifat tidak sabar dan terlalu sensitif.


"Pandangan saya inilah yang membawa saya selama ini mencari orang-orang seperti kamu untuk saya nyatakannya dan mendapat pendapat kamu pula. Tidak betulkah apa pandangan saya ini? Nabi kamu yang namanya Muhammad itu adalah seorang ego. Dan tidak hairan umat Islam yang majoritinya berbangsa Arab dan Melayu di negara ini mencontohinya. Ego. Tidak mahu ditolong. Akhirnya, lihat! Umat Islam ialah umat yang paling miskin di dunia. Tidakkah begitu?" Jenny menyambung lagi.


"Jenny..," Aishah memanggil lembut. "apa bukti awak ambil yang menunjukkan Rasulullah itu ego?"


Rahim sedang menahan amarah dengan kata-kata Jenny. Bila difikirkan, rasa terancam pula bila matapelajaran Sejarah difahami oleh orang-orang yang kuat berfalsafah seperti Jenny. Lagi-lagi Jenny, dalam darahnya, mengalir darah penjajah Inggeris dan juga darah Kristianiti. Cepat-cepat dia beristighfar. Bukankah yang hak, yang benar itu akan menang mengatasi yang batil? Perkara begini mesti ditangani dengan caturan yang baik. Agar tidak ada pihak yang bergaduh.


"Selama saya mempelajari Sejarah, saya perasan satu kisah. Iaitu di dalam peringkat Rasul kamu berdakwah secara terang-terangan, Rasul kamu menerima tentangan hebat daripada kaum Quraisy," Jenny berhenti dan cuba mengingat kembali fakta Sejarah yang dipelajarinya, "bani.. ah, lupa pula nama Bani Rasul itu." Jenny kecewa kerana gagal mengingat nama Bani itu.


"Bani Hasyim." tolong Farid.


"Ya! Bani Hasyim terima terlalu banyak sangat tentangan. Dipulaukan. Kemudian, mengalami masalah ekonomi sebab tidak ada siapa yang mahu membeli dengan mereka. Kebuluran, kerana semua bani sengaja menaikkan harga barang hingga terlalu mahal. Hidup Bani Hasyim, saya kira, terlalu menyesakkan dada. Bayangkan tidak ada seorang pun yang mahu menolong mereka."


Farid, Umar, Rahim dan Aishah membetulkan kedudukan mereka. Tekun mendengar segala apa yang Jenny tuturkan. Kadang-kadang, mereka berasa Jenny itu agamanya Islam pula. Lebih arif tentang Sejarah Islam daripada orang Islam sendiri.




"Kemudian, beberapa tawaran seperti perempuan, pangkat besar, harta dan yang paling dahsyat ialah supaya Muhammad bergilir menyembah berhala mereka sehari kemudian keesokkan harinya, mereka akan menyembah Tuhannya Muhammad pula." Jenny berhenti dan meneguk air mineral sedikit untuk membasahkan tekaknya. Dia sudah terlalu banyak bercakap.


"Jadi, awak rasa, Rasul kami itu ego kerana dalam keadaan darurat begitu pun masih tidak mahu mempertimbang segala tawaran itu?" duga Umar.


"Ya! Rasul kamu begitu ego. Padahal pengikut-pengikutnya sedang menderita gara-gara dia. Bukan itu saja, saya juga dapati, pengikut-pengikut Islam pada waktu itu juga ego. Seperti yang kita tahu, pengikut-pengikut itu terdiri daripada golongan yang miskin dan hamba-hamba abdi. Tapi dalam waktu begitu, sikit pun mereka tidak hiraukan tawaran-tawaran itu. Nah, jelaskan pendapat saya? Rasul kamu mendidik kamu menjadi ego. Sombong!" Jenny mengakhiri pendapatnya.


"Jenny... Jenny.. saya kagum dengan kelancaran awak membentang hujah. Lagi-lagi mengaitkan tentang Sejarah agama kami. Sudah lamakah awak memendam rasa awak itu?" Umar berkata bagi mengendurkan sedikit suasana.


Jenny senyum dan mengangguk, "Hei, SPM is just around the corner. Selain minat, saya memang terpaksa kan hafal semua itu untuk jawab exam nanti?"


Mereka di situ ketawa mendengar respon Jenny.


"Ok Jenny. Izinkan saya pula memberi pendapat atas pandangan awak itu." Umar menjawab tertib, "First of all, segala fakta yang awak katakan tadi, memang tepat dan tidak ada yang salah. Mengenai isu ego, satu perkara yang harus kita faham di sini ialah, Jenny, ego tidak sama dengan tetap pendirian."


"Bagi saya pula, tindakan Rasulullah sama sekali bukan atas dasar kesombongan dalam diri baginda. Jika benar Rasulullah itu ego dan sombong sebagai seorang pemimpin, sudah tentu Rasulullah tidak akan memohon pertolongan. Sedangkan, untuk pengetahuan Jenny, Rasulullah selalu dan sentiasa menadah tangan untuk berdoa kepada tuhan kami, Allah agar diberi pertolongan. Tidak kira pertolongan fizikal, atau rohani untuk menenangkan jiwa Rasulullah yang kadang-kadang resah gelisah." Umar menelan air liur dan meneruskan hujahnya.


"Dalam Islam, setiap hamba yang menadah tangan untuk berdoa melambangkan hambanya tunduk kepada kekuasaan Yang Satu dan melambangkan kehambaannya kepada Si Pencipta." Farid menambah diselangi dengan anggukan setuju Rahim.


Gambar dari sini


"Bagi saya, tindak-tanduk Rasulullah adalah sesuatu yang patut kerana segala tawaran yang ditawarkan oleh kafir Quraisy adalah bertentangan dengan prinsip Islam yang dibawa Rasulullah. Awak terlepas pandang satu perkara. Ketika 'Utbah bin Rabi'ah, salah seorang pembesar Quraisy waktu itu, datang menemui Rasulullah untuk mengumumkan tawaran," kata-kata Umar dipotong Jenny.


"Maaf, siapa namanya? Tak pernah pula saya tahu." Jenny mengeluarkan buku catatannya dan bersedia untuk mencatat.


Umar tersenyum melihat kesungguhan Jenny yang ingin mengaut ilmu. Sikap yang sepatutnya ada dalam diri umat islam. Tamakkan ilmu.


"Oh, memang tak ada. Ini informasi bonus untuk awak. Diperolehi daripada catatan Sirah dari negara Arab sana. Namanya 'Utbah bin Rabi'ah." jelas Umar.


"Baik. Teruskan, Umar." kata Jenny selesai mencatat.


"Ok, ketika 'Utbah bin Rabi'ah datang menemui baginda, 'Utbah berkata, 'Mahukah sekiranya aku tawarkan beberapa perkara? Semoga engkau dapat menerima sebahagian darinya.' Kalau menurut Jenny, Rasulullah seorang yang ego, sudah pastinya ketika itu, Rasulullah akan menolak mentah-mentah, waima mendengar tawaran itu sekalipun, Rasulullah pasti akan menolak. Tetapi, sebaliknya, Rasulullah bersetuju untuk mendengar dahulu. Kata baginda lebih kurang begini, 'Katakan, ya Abal-Walid, saya cuba mendengarnya.' Ya, lebih kurang begitulah apa yang ingin saya katakan." Umar kemudian mengangguk kecil menandakan dia sudah selesai. Memberi peluang kepada rakan-rakannya yang lain sekiranya ingin menambah.


"Rasulullah ialah seorang yang tetap pendirian. Peristiwa baginda menolak segala tawaran Quraisy sekali gus menunjukkan agama Islam bukan didirikan atas dasar nafsu kepada harta, pangkat hatta perempuan sekalipun." kata Rahim yang dari tadinya hanya mendengar.


"Manakala point awak tentang pengikut Rasulullah juga bersifat ego, bagi saya pula, ia menunjukkan penganut Islam ketika itu sangat kental. Dalam keadaan yang memaksa begitu pun, mereka tetap berpegang teguh kepada agama Islam." tambah Farid.


"Jenny, hujah Umar, Rahim dan Farid adalah dasar logik. Biar saya tunjukkan contoh yang lebih praktikal, iaitu saya." Aishah bersuara.


Semua mata memandang Aishah. Masing-masing kurang faham bagaimana Aishah boleh menjadi contoh praktikal tentang isu itu.


"Rasulullah ketika itu dipulau. Tidak ada seorang pun yang mahu menolong Bani Hasyim. Saya? Hanya kerana saya bukan Melayu, saya sentiasa dianaktirikan dalam layanan. Tidak ada orang yang mahu berkawan dengan saya sedangkan saya juga Islam. Islam seperti mereka. Kalau bukan kerana pendirian Islam yang menyatakan sabar separuh daripada iman dan tidak elok bermusuh-musuhan, sudah tentu saya akan menangis setiap hari merenung nasib. Saya akan tension, dan silap silap haribulan, saya boleh membunuh diri. Tapi, mujur ada kekuatan. Seperti Bani Hasyim yang menguatkan semangat mereka. Kalau itu yang awak namakan ego, maka anggaplah saya ini ego." Aishah menahan air matanya.


Jenny menekup mulutnya. Tidak dia menyangka Aishah mengaitkan pandangannya dengan diri Aishah sendiri. Dengan pantas, Jenny memeluk Aishah menenangkannya.


Gambar dari sini


"Rupa-rupanya anggapan saya tentang ego selama ini telah diterjemah oleh kamu semua dengan perkataan lain hari ini. Tetap pendirian. Toleransi. Kuat semangat. Tidak putus asa. Sabar. Puas hati rasanya dapat luahkan segalanya!" kata Jenny diakhiri dengan senyum kecil.


Rahim menepuk-nepuk tangannya. "Ok, ok! Alhamdulillah. Segalanya selesai tanpa adegan berbunuhan."


Mereka ketawa.


"Lagi 15 minit ke waktu Asar. Apa kata kita tamatkan sesi kita hari ini? Kita bersiap-siap untuk solat" cadang Rahim pula.


Mereka mengangguk-angguk tanda setuju.


"Apa kata lepas kamu semua sembahyang, kita pergi makan cendol di gerai depan sana?" cadang Jenny.


Masing-masing sekali lagi mengangguk tanda setuju.



bersambung...

0 commentaires:

Navigation Bar

Our Gallery!

Visit our gallery by clicking HERE!

Click Here

The Wayfarers

c/o:
We are the wayfarers
We are the travelers
Wondering through
The planet earth
And see how great
The Creator is

We are the wayfarers
We are the travelers
Don’t you ever think
How strange it is
To treat everything
As tough as it’s ours